KPKKT Raih Anugerah The Rising Star Award 2025 Menerusi Inovasi Digital E-Balak

KUALA TERENGGANU, 24 Januari –

Anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Golden Pharos Berhad, melalui anak syarikatnya Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT), terus membuktikan keupayaan pengurusan perhutanan secara mampan dan berteraskan teknologi digital selari dengan keperluan industri semasa.

Keupayaan tersebut dizahirkan menerusi inovasi E-Balak, satu sistem pendigitalan pengurusan data perhutanan yang selari dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0, apabila berjaya merangkul Anugerah The Rising Star Award pada Majlis GeoInnovation Malaysia Award 2025, anjuran Esri Malaysia, baru-baru ini.

Menurut KPKKT dalam satu kenyataan, anugerah berprestij itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan pelaksanaan sistem E-Balak yang mengintegrasikan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi pengurusan data perhutanan, pemantauan aktiviti pembalakan serta rantaian bekalan kayu balak secara menyeluruh, sistematik dan telus.

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Esri Malaysia, Mr. CS Tan, kepada Pengerusi KPKKT, Muhyiddin Ab Rashid, dalam majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, daripada pengurusan tertinggi sehingga ke pekerja di lapangan. Kejayaan ini membuktikan komitmen KPKKT dalam menerajui penggunaan teknologi perhutanan di negeri Terengganu,” menurut kenyataan tersebut.

Melalui pelaksanaan E-Balak, kaedah pengurusan konvensional berasaskan manual telah digantikan sepenuhnya dengan sistem pendigitalan di lapangan, bermula daripada inventori hutan, aktiviti penuaian sehinggalah ke pusat simpanan kayu atau matau.

Tambah KPKKT, pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, malah membantu mengurangkan ketirisan hasil serta memperkukuh tadbir urus industri perhutanan negeri.

Kejayaan di peringkat nasional ini melengkapkan pencapaian cemerlang KPKKT sepanjang tahun 2025, apabila inovasi E-Balak turut merangkul Pingat Emas dan Anugerah Khas Industri pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

KPKKT turut menegaskan bahawa pencapaian ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 9, SDG 15 dan SDG 8.

Kejayaan merangkul The Rising Star Award 2025 sekali gus meletakkan KPKKT sebagai antara organisasi perhutanan terkehadapan dalam aspek inovasi teknologi dan tadbir urus digital.