KUALA LUMPUR, 9 JULAI –
Golden Pharos Bhd (GBP) komited memperluaskan kehadiran produk perkayuan yang dihasilkannya di pasaran antarabangsa terutama Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Terkini, syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu itu menerusi anak syarikatnya, Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama) menjalin kerjasama strategik dengan Forest Avenue International (Forest Avenue) untuk meluaskan segmen pengkomersilan kayu siap dibentuk di pasaran.
Forest Avenue adalah anak syarikat Supreme Group, syarikat perkayuan terbesar di Klang, Selangor.
Kerjasama itu membolehkan Pesama menghasilkan produk yang memberi nilai tambah, sementara Forest Avenue akan memberikan garis panduan kepada Pesama termasuk berkaitan dengan spesifikasi produk, kemahiran tenaga kerja dan teknologi serta kerjasama lain dari masa ke masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Dr Mohd Zaki Hamzah, berkata kerjasama terkini itu membolehkan syarikat memperkukuh dan memperluaskan lagi kehadirannya di pasaran antarabangsa terutama di AS dan Eropah.
Beliau berkata, syarikatnya juga mempunyai pensijilan perkayuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membolehkannya mengeksport produk perkayuan ke luar negara.
“Permintaan terhadap produk kayu siap dibentuk sangat tinggi di pasaran antarabangsa terutama di AS dan Eropah.
“Kami juga meninjau untuk menembusi pasaran Afrika,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pesama dan Forest Avenue di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.