KUALA TERENGGANU, 29 MEI –

Kuala Terengganu – GP Forest Plantation Sdn Bhd (GPFP) telah menandatangani perjanjian bersama BFC Research and Development Sdn Bhd (BFC) bagi membangunkan projek perladangan hutan di Terengganu.

GPFP merupakan sebuah anak syarikat di bawah Golden Pharos Bhd (GPB) yang mengusahakan projek perladangan hutan seluas 2,869 hektar bertempat di Hutan Simpan Jerangau, Dungun, Terengganu.

Pengarahnya, Datuk A Rahman Yahya berkata perjanjian ini dibuat susulan daripada lawatan wakil BFC ke ladang hutan milik GPFP tahun lepas yang memberi maklumbalas bahawa pengurusan ladang hutan GPFP memerlukan penambahbaikan yang bersesuaian.

“Oleh kerana itu, BFC telah menawarkan kepada GPFP perkhidmatan teknikal sokongan secara kontrak bagi menyemak prosedur standard operasi bagi penanaman perladangan hutan.

“Jika perlu, BFC akan turut membuat prosedur standard operasi baharu kepada GPFP untuk memastikan bahawa projek perladangan hutan ini dilakukan dengan mematuhi polisi dan syarat-syarat penanaman hutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini GPFP telah mengadakan lawatan kunjung hormat ke syarikat BFC dan seterusnya menandatangani perjanjian ini bagi membolehkan segala kerja-kerja semakan dapat dilakukan dengan segera.

A Rahman turut berkata perjanjian yang termeterai ini diharapkan dapat membantu kerajaan negeri mewujudkan perladangan hutan yang berdaya maju di Terengganu.