Keuntungan bersih Golden Pharos melonjak lebih RM24 juta
KUALA TERENGGANU: Keuntungan bersih Golden Pharos Bhd (Golden Pharos), anak syarikat berkaitan kerajaan Terengganu melonjak kepada RM24.4 juta tahun lalu berbanding RM11.85 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2022.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata prestasi luar biasa berkenaan disumbangkan oleh peningkatan hasil dan keuntungan bagi penuaian, perladangan hutan, kilang papan, jualan balak dan segmen pembalakan kumpulan itu pada suku di bawah tinjauan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Zaki Hamzah, berkata hasil syarikat meningkat kepada RM89.67 juta berbanding RM69.81 juta pada 2022. Katanya, bagi suku keempat 2023, keuntungan bersih meningkat kepada RM27.69 juta berbanding RM14.60 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil naik kepada RM52.85 juta daripada RM36.53 juta pada suku yang sama pada 2022.
Beliau berkata, selaras dengan pencapaian itu, pihaknya mengagihkan dividen interim sebanyak 4.6 sen sesaham kepada pemegang saham pada 15 Januari dan 9 Februari lalu. “Kumpulan GPB menjalankan pelbagai inisiatif strategik dalam meningkatkan tadbir urus korporat dan kecekapan operasi dengan mengukuhkan proses membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan yang berkesan.
“Ia bertujuan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang dalam kepentingannya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, melangkah ke hadapan kumpulan GPB akan meneruskan komitmennya dalam memastikan kumpulan mencapai keputusan positif.
“Golden Pharos menjalankan pelbagai inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi dengan mengukuhkan proses membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan berkesan dalam mencapai pertumbuhan syarikat yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Zaki berkata Golden Pharos akan memperkukuh aktiviti perniagaannya dalam pengurusan konsesi hutan, penuaian dan pengedaran, pengilangan papan serta pemprosesan nilai tambah produk berasaskan kayu bagi menjana lebih keuntungan pada masa akan datang.